1. Saya ditawarkan pekerjaan baru dan saya menerimanya. Saya berhenti kerja di tempat kerja saya sekarang. Semalam majikan baru tersebut menghantar surat menarik balik tawaran kerja di tempatnya. Saya sekarang tersepit kerana saya telah berhenti dari tempat kerja saya sekarang. Apa tindakan yang boleh saya lakukan?
Surat tawaran kerja adalah kontrak yang sah apabila kita menerima dan menandatanganinya. Majikan baru hanya boleh menarik balik tawaran mereka sebelum pekerja tersebut menerima tawaran itu. Dengan menerima dan menandatangan surat tawaran tersebut, dia adalah pekerja syarikat itu. Pekerja tersebut juga boleh melaporkan majikan baru itu ke Jabatan Perhubungan Perusahaan di bawah Sekyen 20 (3) Akta Perhubungan Perusahaan. Tindakan menarik balik Surat Tawaran Kerja oleh majikan baru tersebut adalah tindakan 'unfair dismissal'.
2. Apakah 'kontrak untuk perkhidmatan (contract for service)' dan bagaimana ia berbeza dengan 'kontrak pekerjaan (employment contract)'?
Kontrak untuk perkhidmatan bukanlah kontrak pekerjaan. Ia adalah kontrak dimana satu pihak memerlukan perkhidmatan yang spesifik. Kontrak tersebut boleh ditamatkan bila-bila masa. Kontrak pekerjaan pula adalah kontrak dimana majikan mempunyai kuasa terhadap masa bekerja, tugas dan tanggungjawab pekerjanya. Perbezaan yang utama di antara kedua-dua kontrak ini adalah kuasa yang di pegang oleh pihak yang menjadi majikan. Di bawah 'contract for service' tidak ada hubungan majikan-pekerja. Maksudnya majikan tidak perlu membuat bayaran berkanun seperti EPF dan SOCSO. Penting untuk membezakan kedua-dua kontrak ini kerana kita harus tahu jenis kontrak yang ditawarkan oleh majikan semasa menerima dan menandatangani surat tawaran kerja. Sekiranya tawaran kerja tersebut menyatakan kontrak untuk perkhidmatan (contract for service) kita tidak boleh membawa sebarang kes ke Mahkamah Industri. Pekerja harus peka terhadap kandungan surat tawaran kerja mereka sebelum menerima dan menandatanganinya.
14 Februari 2012
PUTRAJAYA - Proses penggubalan Rang Undang-undang Umur Persaraan Swasta bagi menaikkan had umur persaraan sehingga 64 tahun dengan had bersara mandatori 60 tahun, kini di peringkat akhir proses penggubalan, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
Beliau berharap rang undang-undang itu dapat dibentangkan pada sesi sidang Dewan Rakyat yang akan bermula bulan depan, untuk mendapat kelulusan setelah beberapa perkara diperhalusi.
"Kita di peringkat akhir proses penggubalan undang-undang. Kalau siap sebelum sesi parlimen ini, kita harap ia boleh dibentangkan nanti. Tetapi ada satu dua isu yang masih kita meneliti dan memperhalusi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kini tiada umur persaraan wajib ditetapkan bagi sektor swasta seperti sektor awam.
Di bawah undang-undang baru itu, seseorang pekerja hanya akan bersara apabila mencapai usia 60 tahun dan jika khidmatnya masih diperlukan, pekerja terbabit boleh dilanjutkan perkhidmatan selama empat tahun lagi.
Sebelum ini Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdul Halim Mansor menyambut baik usaha kerajaan untuk melanjutkan umur persaraan kakitangan sektor swasta berjumlah lebih enam juta orang.
Terdahulu Dr Subramaniam menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Jabatan Pembangunan Kemahiran dengan Persatuan Teknologi Industri Perkomputeran (CompTIA), Dewan Perusahaan dan Perindustrian London (LCCI) dan Persatuan Teknologi Malaysia (TAM). - Bernama
16 Februari 2012
KUALA LUMPUR - Kesatuan Pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia (TWU) menggesa Kementerian Sumber Manusia menyiasat pemecatan ke atas Pengerusi Kesatuan Pekerja Westports Malaysia yang didakwa dibuat tanpa alasan kukuh.
Setiausaha Agung TWU Datuk Zainal Rampak berkata Megat Zamri Megat Abdul Aziz telah diberhentikan kerja secara tidak adil dan TWU percaya Megat Zamri tidak melakukan apa-apa kesalahan yang melanggar undang-undang pelabuhan.
"Menteri Sumber Manusia perlu melihat tindakan tersebut sebagai satu penganiayaan melibatkan perkara yang lebih besar iaitu pelanggaran terhadap hak bersuara dan sistem demokrasi yang dilindungi Perlembagaan.
"Dalam Perlembagaan Perkara 10, terang-terang menunjukkan peruntukan bagi hak untuk bersuara dan berpersatuan," katanya.
Zainal mendakwa pemecatan Megat Zamri itu mempunyai muslihat bersabit pertikaian antara pihak pengurusan Westport dengan kesatuan dalaman. Megat Zamri adalah seorang pekerja di pelabuhan itu sejak 12 tahun yang lepas dan memegang jawatan pengerusi kesatuan sejak ia diiktiraf oleh pihak majikan pelabuhan itu pada Disember 2010.
Beliau pernah digantung tugas pada 1 Mei 2011 dikatakan sebab menghasut dan dan sekali lagi pada 9 Jan tahun ini kerana menyertai kempen 'Flag of Convenience Seafarer (FOC)' anjuran Majlis Persekutuan Pekerja Pengangkutan Antarabangsa (ITF) yang diadakan di kawasan pelabuhan itu.
Megat Zamri menerima surat pemecatannya Khamis lepas, dua hari setelah tempoh penggantunganya yang terakhir itu tamat. Zainal berkata kempen FOC itu diadakan setiap tahun di seluruh dunia dengan tujuan memeriksa kapal yang berlabuh di setiap pelabuhan bagi mempastikan
pengurusan kapal membayar gaji dan memberi insentif secukupnya kepada pekerja.
"Dalam masa kempen itu, Megat Zamri menyertai demonstrasi sebagai ahli jawatankuasa ITF, bercuti dan tidak pula melanggari undang-undang," katanya.
Zainal berkata pihak ITF cawangan Malaysia telah menulis surat kepada ITF Antarabangsa beribu pejabat di London meminta campur tangan mencari penyelesaian adil dalam perkara tersebut.
Megat Zamri ketika ditemui Bernama berkata beliau sedang menimbangkan untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak pengurusan pelabuhan itu.
Beliau juga mempersoalkan tindakan pihak pelabuhan itu yang sebelum ini memecat empat orang ahli jawatankuasa kesatuan itu tanpa alasan yang kukuh.- Bernama
Hujan lebat petang tadi gagal melemahkan semangat kira-kira 200 pekerja Maybank dan ahli kesatuan sekerja yang berhimpun di ibu pejabat Maybank Bangsar untuk menuntut pihak majikan membatalkan penubuhan kesatuan dalam.
Dengan berpakaian serba merah, ahli-ahli kesatuan itu mula berarak dari pejabat Kesatuan Pekerja-pekerja Bank Kebangsaan (Nube) di Brickfields pada jam 3 petang tetapi tidak lama kemudian mendapati diri mereka basah kuyup akibat hujan lebat.
Namun, cuaca gagal mematahkan semangat mereka dan pekerja itu terus berarak sejauh dua kilometer dan sampai ke ibu pejabat Maybank Bangsar kira-kira 30 minit kemudian.
Pekerja-pekerja kemudiannya melaungkan kata-kata 'Maybank kejam', sambil membawa sepanduk dan kain rentang berbunyi: 'Henti jadikan ahli NUBE mangsa', 'Maybank rompak pekerja Malaysia' dan 'Kami diberi gaji kecil'.
Mogok tiga jam, anjuran NUBE itu adalah sebagai membantah keputusan Maybank untuk memecat dua pekerja yang kebetulan adalah pegawai kesatuan bank berkenaan.
Maybank juga dilaporkan menggalakkan pembentukan sebuah kesatuan dalaman tahun lalu yang dianggap NUBE melanggar Akta Perhubungan Perusahaan 1967.