30.10.09

Katarak kerana proses penuaan


Oleh Profesor Dr. Muhaya Mohamad
Pakar Perunding Mata, Kuala Lumpur.
drmuhayalasik.blogspot.com

KESAN katarak jelas kelihatan pada kanta mata yang legap dan menghalang cahaya masuk ke dalam mata.

SESETENGAH pesakit yang mengalami kekaburan penglihatan mungkin menjadi buta jika tidak menjalani pemeriksaan dan rawatan sewajarnya. Katarak, sejenis masalah mata yang semakin banyak ditemui dan sangat biasa berlaku di kalangan warga emas.

Katarak ialah keadaan di mana kanta mata yang semula jadi adalah jernih semakin hilang kejernihannya sehingga menghalang cahaya masuk ke dalam mata. Lazimnya masalah ini berlaku disebabkan proses penuaan tetapi terdapat juga golongan muda yang mengalaminya.

Punca

Pesakit kebiasaannya akan mula mengalami kekaburan penglihatan dan silau apabila melihat ke arah cahaya yang terang. Kekaburan penglihatan ini berlaku secara perlahan-lahan dan pesakit berasa seolah-olah ada asap atau kabus di depan mata mereka. Lama kelamaan, penglihatan mereka menjadi semakin kabur, dan jika tidak dirawat mereka boleh menjadi buta.

Pembentukan katarak berkait rapat dengan proses penuaan, namun ada juga bayi yang baru lahir mengalami masalah ini. Ia dikenali sebagai katarak kongenital. Selain itu, katarak juga boleh berlaku akibat trauma ke atas mata, terutamanya apabila mata seseorang itu menerima hentakan atau tumbukan yang kuat.

Rawatan

Katarak boleh dirawat. Rawatannya mudah kerana pada peringkat awal, cermin mata boleh membantu mengembalikan penglihatan.

Namun, apabila katarak mula mengganggu penglihatan, pembedahan perlu dilakukan. Kanta yang hilang kejernihan itu perlu dikeluarkan dan diganti dengan kanta tiruan yang dibuat daripada plastik.

Pembedahan bagi merawat katarak dibuat dengan melakukan bius setempat sahaja dengan secara ubat titis sahaja. Pesakit akan kekal sedar ketika pembedahan dilakukan. Bagaimanapun, kaedah ini biasanya dilakukan pada pesakit tua sahaja.

Bagi pesakit kanak-kanak dan muda, bius am (bius penuh) akan diberikan dan pesakit tidak akan sedar sepanjang pembedahan dijalankan. Pesakit yang dibedah tidak akan berasa apa-apa dan biasanya pembedahan hanya mengambil masa antara 20 hingga 40 minit.

Masa sesuai untuk melakukan pembedahan katarak bergantung kepada keadaan pesakit. Bukan semua katarak, terutamanya pada peringkat awal, perlu dibedah. Pembedahan hanya perlu dilakukan jika katarak mengganggu penglihatan dan menjejaskan aktiviti harian seseorang.

Kita juga tidak perlu menunggu katarak menjadi 'matang' sebelum dibedah. Fahaman ini adalah konsep rawatan yang diamalkan 50 tahun dahulu ketika teknik pembedahan dilakukan tanpa bantuan mikroskop dan mesin canggih.

Kini, kanta yang tiada masalah katarak juga boleh dibedah untuk merawat masalah mata lain seperti rabun jauh yang teruk. Jadi, pembedahan ini boleh dilakukan pada bila-bila masa yang difikirkan perlu.

Pemulihan

Pesakit kebiasaannya boleh mula bekerja selepas sebulan pembedahan, terutama bagi pembedahan yang memerlukan jahitan.

Ini adalah kaedah untuk katarak yang 'matang'. Namun, kini terdapat kaedah rawatan yang tidak memerlukan jahitan dipanggil fako-emulsifikasi.

Melalui kaedah ini, katarak dihancurkan dan 'disedut' keluar menggunakan alat khas yang halus.

Oleh itu, luka pada mata adalah jauh lebih kecil tanpa jahitan dan lebih cepat sembuh. Pesakit biasanya boleh mula bekerja selepas dua minggu menjalani pembedahan. Bagaimanapun, perlu diingat bahawa kadang kala masalah katarak masih boleh berulang.

Bagi sesetengah pesakit, lapisan kulit katarak akan menebal dan menyebabkan kekaburan hanya dapat dirawat menggunakan rawatan laser YAG.

Rawatan laser yang sedia ada kini sungguh mudah, selamat, cepat dan tidak memerlukan pembedahan.

30.10.09

Faedah lelap seketika kepada pekerja



Oleh KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR
(utusan malaysia)

Banyak organisasi di Barat yang menggalakkan para pekerja untuk mengamalkan tidur sebentar di waktu siang.

SESETENGAH daripada kita menganggap bahawa lelap atau tidur sebentar pada waktu siang adalah sifat orang yang malas. Tidak kurang juga yang berandaian bahawa rutin tidur sebegini mengganggu kesihatan.

Namun tidak ramai yang mengetahui bahawa tidur sebentar pada waktu siang merupakan suatu amalan harian yang telah dipraktikkan oleh masyarakat di negara-negara Barat mahupun umat Islam sejak dahulu.

Ia dianggap sebagai praktis berkesan untuk menyegarkan semula badan dan minda yang juga dipanggil sebagai power nap.

Menyedari pentingnya isu itu telah menyebabkan kerajaan Amerika Syarikat beberapa tahun lalu membangunkankan National Sleep Disorder Association sebagai agensi khas untuk mengkaji dan mempromosikan akan kesan positif tidur di waktu siang kepada semua pihak terutama para pekerja.

Sebagai golongan pekerja dalam pelbagai sektor, perkara ini perlu diambil perhatian walaupun budaya tidur sekejap di waktu siang ini belum begitu popular di negara kita.

Bayangkan daripada pagi hinggalah ke petang kita terlalu terfokus kepada tugasan dan kerja sehingga kita lupa untuk memberikan tubuh badan dan minda waktu rehat yang optimum dengan kaedah yang tepat.

Banyak kajian yang telah dilaksanakan oleh para sarjana dalam mengkaji akan kesan tidur sebentar di waktu siang. Mereka juga menghasilkan bahan-bahan ilmiah yang memberikan fakta tentang kebaikan tidur di waktu siang ini.

Contoh buku popular yang boleh diperoleh di pasaran adalah seperti The Art of Napping at Work karya Anthony dan Anthony, Sleep and Alertness: Chronobiological, Behavioural and Medical Aspects of Napping oleh Dinges dan Broughton dan sebagainya.

Para sarjana ini cuba menghimpunkan bukti-bukti secara saintifik tentang kebaikan tidur sebentar di waktu siang terutamanya bagi para pekerja dalam mengekalkan produktiviti kerja seharian yang mantap.

Telah dibuktikan secara saintifik bahawa waktu tengah hari merupakan masa yang paling sesuai untuk tidur seketika.

Sistem pekerjaan yang kebiasaannya memperuntukkan waktu rehat pada waktu tengah hari perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk tidur sejenak selain daripada makan tengah hari, berbual-bual kosong dengan rakan-rakan, melayari Internet dan sebagainya.

Pada masa inilah sistem badan manusia bersedia untuk memanfaatkan fasa berehat setelah berjam-jam keletihan akibat dipengaruhi oleh faktor suhu persekitaran serta pendedahan dan penggunaan tenaga fizikal dan mental ketika bekerja.

Keletihan bekerja memuncak pada waktu tengah hari yang mana ia boleh mendorong seseorang pekerja mempunyai perasaan tidak tenteram, tidak fokus, mengantuk dan mudah marah.

Fasa tengah hari ini dipanggil oleh para sarjana sebagai fasa kelesuan pada pertengahan hari. Tempoh untuk tidur pula dikatakan mencukupi dalam lingkungan 30 hingga 40 minit.

Ini adalah kerana waktu tidur yang berlebihan pula akan menyebabkan gangguan kepada tubuh badan yang akan menjadi lesu dan malas untuk bekerja semula.

Daripada segi fizikal, tidur sekejap pada waktu siang secara berkala membantu dalam menyegarkan otak yang memerlukan oksigen yang cukup untuk berfungsi, memperbetulkan semula fungsi jantung dan kapilari darah dalam pengaliran darah dan oksigen, memperbaiki sel-sel badan dan mengendurkan otot-otot yang digunakan secara aktif semasa bekerja sejak pagi.

Daripada aspek kesihatan mental dan psikologi pula, minda dan perasaan akan menjadi lebih tenang daripada stres sebaik bangun daripada tidur dan bersedia untuk melaksanakan kerja dengan lebih produktif, berkesan dan efisien menganjur ke petang hari.

Daripada perspektif Islam, tidur di waktu siang turut diiktiraf sebagai salah satu amalan yang baik.

Imam al-Ghazali pernah menyatakan bahawa 'hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur sekejap pada siang hari kerana ia membantu ibadah pada malam hari sebagaimana sahur membantu puasa di siang hari'.

Tidur sekejap di waktu siang bertujuan untuk menyegarkan semula bukan sahaja jasmani, malah rohani seseorang untuk beramal ibadah dan melaksanakan rutin hariannya.

Atas kesedaran tentang implikasi positif daripada tidur sekejap di waktu siang ini, banyak organisasi di Barat yang menggalakkan para pekerja untuk mengamalkannya.

Sehingga ke satu tahap, dikatakan terdapat majikan yang menyediakan ruang yang khas untuk tidur sementara (yang lengkap dengan kerusi malas, kusyen, tuala muka dan haruman) bagi para pekerjanya selain daripada pantri atau kantin untuk makan.

Majikan atau pengurusan organisasi diharapkan faham akan keperluan rehat para pekerja. Cuba elakkan untuk mengadakan mesyuarat atau memberi sebarang tugas kepada pekerja sehingga mengganggu waktu rehat tengah hari mereka.

Begitu juga dalam kalangan pekerja yang perlu mengikis pandangan serong apabila terjumpa rakan-rakan yang tidur di pejabat dan tidak memberikan banyak masa untuk makan atau bersosial pada waktu rehat.

Begitu juga dengan para pelanggan di kaunter-kaunter perkhidmatan yang perlu faham dan tidak bersungut apabila sesetengah kaunter ditutup untuk memberi ruang rehat seadilnya kepada semua pekerja.

Mungkin amalan tidur sekejap sebegini belum kelihatan praktikal dan janggal dalam kalangan warga pekerja di negara kita. Pun begitu, pokok pangkalnya sebagai orang yang bekerja kita boleh cuba untuk mengadaptasi amalan tidur sekejap ini yang telah terbukti keberkesanannya dalam mengekalkan kecergasan dan kecerdasan diri.

Sebagai pekerja, jika fizikal, mental dan emosi kita dapat direhatkan sebentar pasti kita dapat mengekalkan prestasi kerja yang baik sehingga ke minit terakhir kita bekerja sehari-harian.

26.10.09

Solat Hajat Dan Penerangan CA











22.10.09

CUEPACS, MTUC MINTA BONUS 2 BULAN


Berita Harian
Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
22/10/2009



KUALA LUMPUR: Cuepacs dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) masing-masing memohon kerajaan memberi bonus dua bulan gaji kepada 1.6 juta kakitangan dan pesara perkhidmatan awam serta dan memperkenalkan dasar gaji minimum RM900 sebulan bagi semua sektor pekerjaan dalam Bajet 2010, yang akan dibentangkan esok. Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata walaupun krisis ekonomi negara belum pulih sepenuhnya, permohonan bonus itu adalah wajar untuk menambah kuasa membeli, selain meningkatkan kebajikan kakitangan awam supaya dapat menjalankan tugas dengan lebih berkesan, produktif dan cemerlang. Malah, katanya, berdasarkan tinjauan peniaga turut mengharap dan tertunggu-tunggu kakitangan awam menikmati bayaran bonus kerana ia akan mendorong serta mengaktifkan lagi kegiatan jual beli dalam pasaran.
“Permohonan kadar bonus itu ditetapkan dalam mesyuarat Majlis Kongres Cuepacs Khas, 16 Oktober lalu, selepas mengadakan perjumpaan dengan Ketua Setiausaha Negara. Tidak dinafikan bayaran bonus dua bulan gaji kepada kira-kira 1.2 juta kakitangan dan lebih 400,000 pesara perkhidmatan awam, membabitkan kos yang tinggi. “Bagaimanapun, diharap kerajaan mempertimbangkan permohonan ini berdasarkan produktiviti dan prestasi kerja kakitangan awam yang semakin baik, di samping kesetiaan serta sokongan penuh mereka kepada kepemimpinan kerajaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Sementara itu, Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud, berkata penetapan gaji minimum RM900 itu akan memberi kesan besar kepada kebajikan rakyat, khususnya yang berpendapatan rendah, berikutan masih ada pekerja memperoleh kadar upah tidak munasabah serendah RM350 atau RM400 sebulan, termasuk dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.
“Selain itu, MTUC juga meminta kerajaan mendesak majikan sektor swasta memperkenalkan elaun kos sara hidup (Cola) untuk pekerja berpendapatan rendah, di samping menyediakan insentif lain seperti rebat bagi membantu golongan ini serta mengekalkan bantuan subsidi sedia ada. “Walaupun mungkin berlaku pengurangan dalam Bajet 2010, ia diharap tidak membebankan atau memberi implikasi negatif kepada rakyat yang banyak menyumbang kepada kerajaan pada waktu susah dan senang,” katanya.
Posted by CUEPACS at 00:40 8 comments

22.10.09

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merujuk kepada laporan yang disiarkan dalam media pada 20 Oktober 2009 berhubung dengan Laporan Ketua Audit Negara 2008 mengenai 9,000 majikan tidak membayar caruman KWSP.

Terlebih dahulu, KWSP ingin menyatakan bahawa KWSP menghargai pandangan yang diberikan oleh Ketua Audit Negara seperti terkandung dalam Laporan tersebut dan menyokong usaha mereka untuk menambah baik sistem penyampaian sektor awam di negara ini.

Dengan pengukuhan proses dan menggiatkan tindakan penguatkuasaan yang disokong oleh sistem IT yang kukuh, KWSP telah berjaya mengurangkan kadar majikan tidak mencarum sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Setakat September 2009, kadar majikan tidak mencarum telah mencatatkan penurunan kepada 1.75 peratus berbanding 2.05 peratus pada Disember 2008. Penurunan ini adalah ketara berbanding 5.65 peratus yang dicatatkan pada 2000. (Sila Rujuk Lampiran, Carta 1)

Pada tahun-tahun kebelakangan ini, tindakan penguatkuasaan KWSP lebih tertumpu kepada majikan bersaiz besar dengan jumlah caruman yang tinggi kerana kegagalan mencarum oleh majikan ini akan melibatkan bilangan ahli yang ramai dan jumlah caruman yang besar.

Berdasarkan prestasi itu, KWSP percaya bilangan pegawai pemeriksa pada ketika ini adalah mencukupi dan optimum. Bagaimanapun, KWSP akan mengkaji semula keperluan ini dari semasa ke semasa mengikut keadaan.

KWSP ingin menjelaskan bahawa angka 9,000 yang dipetik dalam laporan media itu adalah bilangan terkumpul majikan tidak mencarum sejak beberapa tahun lalu. Sehingga kini, tindakan undang-undang telah diambil ke atas lebih 95 peratus majikan manakala hanya kurang daripada lima peratus sedang dalam siasatan.

Merujuk kepada KWSP tidak mengambil tindakan terhadap sesetengah aduan yang melibatkan majikan yang tidak membayar caruman, KWSP ingin menjelaskan bahawa kegagalan ahli mengemukakan dokumen sokongan yang lengkap dan ahli lambat membuat aduan sehingga majikan yang terbabit telah berhenti beroperasi telah menjejaskan siasatan. Bagaimanapun, KWSP ingin menegaskan bahawa setiap aduan diberikan perhatian yang serius dan akan diambil tindakan segera.

Setakat September 2009, KWSP telah memfailkan 7,224 kes jenayah (2008: 7,164 kes) dan 932 kes sivil tahun ini (2008: 756 kes) terhadap majikan yang tidak membayar caruman bagi pihak pekerja mereka.

Pada tahun ini, KWSP juga telah mengemukakan nama 832 pengarah (2008: 932 pengarah) kepada Jabatan Imigresen untuk menghalang mereka daripada meninggalkan negara jika tidak menyelesaikan caruman tunggakan terlebih dahulu seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 39 Akta KWSP.

KWSP sentiasa mengutamakan kepentingan ahli serta perlindungan simpanan persaraan mereka dan akan mengambil segala langkah perlu bagi memastikan majikan melaksanakan tanggungjawab mencarum mereka.

Oleh itu, adalah penting bagi ahli untuk turut memainkan peranan dan sentiasa menyemak penyata kira-kira mereka bagi memastikan majikan membayar caruman pada masa yang ditetapkan. Sekiranya terdapat keraguan, ahli dinasihatkan untuk mendapatkan penjelasan daripada majikan atau melaporkan kepada KWSP dengan segera.

(NIK AFFENDI JAAFAR)
Pengurus Besar
Perhubungan Awam
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

Tarikh: 20 Oktober 2009

20.10.09

Tiada istilah 'bohong sunat'


Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri...

Masih ingatkah lagi pantun lama ini? Sejak kecil, kita sering diajar bahawa bohong adalah perbuatan yang tidak baik atau dalam istilah yang paling mudah difahami, “bohong itu jahat”. Namun dalam kehidupan seharian, terutamanya bagi orang dewasa, bohong kadangkala menjadi suatu perkara yang biasa yang tidak dapat dielakkan. Namun, betulkah kita memang tidak dapat mengelak daripada berbohong?

Mengapa berbohong? Jawapan yang paling tepat, kerana mahu menyelamatkan diri sendiri daripada sesuatu keadaan! Yang biasa berlaku, kita tersepit dalam sesuatu situasi dan situasi itu berlaku kerana kelalaian atau kesalahan sendiri. Sekiranya kesulitan itu berlaku kerana kesilapan orang lain, tentulah kita tidak berbohong kerana kita dapat mencari pihak lain untuk diletakkan kesalahan itu.

Tetapi sebaliknya apabila kesalahan itu berpunca daripada kita sendiri, maka kita terpaksa mereka-reka alasan supaya kita tidka dipersalahkan. Apabila ‘terlalu bijak’, mereka-reka alasan, maka terjadilah pembohongan. Nampak mudah, bukan?

Bohong bermaksud memberitahu susuatu yang tidak benar dan kita tahu bahawa hal itu tidak benar. Atau dengan kata lain, berdusta. Dari sudut pandangan Islam, sudah tentu hukumnya haram. Jika kita memberitahu orang sesuatu perkara yang kita sendiri tidak tahu bahawa hal itu tidak benar, perbuatan itu bukanlah bohong namanya.

Jangan Berbohong

Dari Ibnu Umar r.a. katanya: Saya dengar Rasulullah SAW bersabda, “Bagi tiap-tiap orang yang khianat (penipu) ada bendera yang dipancangkan tanda khianatnya di hari kiamat kelak..” (Hadis riwayat Bukhari)

Dalam sebuah riwayat diceritakan, telah datang kepada Rasulullah SAW, seorang lelaki meminta nasihat. Lelaki itu mengaku bahawa dia tidak dapat meninggalkan satu maksiat yang biasa dilakukannya, iaitu berzina. Mendengar pengakuan jujur lelaki ini Rasulullah SAW berwasiat kepadanya, “Hanya dengan satu perkara: ‘Laa Takzib! (Jangan berbohong!).’ Ternyata dengan menjaga untuk tetap melaksanakan nasihat Rasulullah SAW itu, lelaki ini dapat menghindari perbuatan maksiat yang susah ditinggalkannya kerana setiap kali dia ingin melakukan zina, dia akan ingat kepada nasihat baginda itu. “Bagaimana kalau saya ditanya oleh Rasulullah SAW? Jika saya menjawab: Tidak, bererti saya telah berbohong. Jika saya mengaku bererti saya wajib dihukum,” fikir lelaki tersebut sehingga telah berhenti dari berzina.”

Kalangan orang munafik

Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya, “Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik tulen. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik, hingga dia meninggalkannya. (Empat sifat itu ialah) apabila dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengenepikan kebenaran. (Menegakkan benang basah).” (Hadis riwayat Ahmad)

Daripada hadis yang disebutkan di atas, dapat kita fahami bahawa pembohong dikategorikan sebagai seorang munafik dan tempat mereka dalam neraka paling bawah. Maka wajar jika Rasulullah SAW menyatakan bahawa berdusta atau berbohong itu termasuk dalam dosa besar.
Dalam hadis riwayat Abdullah Umar, Rasulullah SAW pernah menegaskan mengenai empat sifat orang munafik iaitu:
1.Apabila diamanahkan, dia mengkhianati amanah itu2.Apabila bercakap, dia berbohong3.Apabila berjanji, dia mungkiri4.Apabila berkelahi, dia berlaku zalim atau melampau-lampau
Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud, Rasulullah AW bersabda yang bermaksud, “Benar itu membawa kebaikan dan kebaikan tiu membawa ke syurga. Yang bercakap benar, akan ditulis benar, yang bohong akan mendorong seseorang itu kepada kejahatan. Kejahatan itu akan membawa seseorang ke neraka dan apabila orang itu bercakap bohong, maka dia akan ditulis sebagai seorang yang pembohong.”

Selain itu, hayati juga firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 36 yang bermaksud, “Jangan kamu mengikuti sesuatu kamu tidak tahu mengenainya. Pendengaran dan penglihatan serta hati – semua anggota itu akan tetap ditanya mengenai segala yang dilakukannya.”

Oleh itu, secara moralnya, jika kita tidak tahu sesuatu perkara dengan jelas atau tidak sahih akan kebenarannya, jangan pandai-pandai bercakap apa-apa, kerana kita berkemungkinan boleh dituduh berbohong.

Bohong yang dibolehkan

Walaupun pada prinsipnya, berbohong hukumnya haram, tetapi dalam keadaan tertentu, Islam memberikan kelonggaran. Namun, ia bukan dalam konteks yang terlalu ketat. Rasulullah SAW ada menyatakan, seseorang yang berbohong dengan niat ingin mendamaikan orang lain atau untuk tujuan kebaikan dalam masyarakat, dia tidak dikira berbohong. Dalam suatu riwayat, Ibnu Kalsum berkata, beliau tidak pernah mendengar Rasulullah SAW memberi kelonggaran untuk bercakap dalam hal yang tidak betul, kecuali dalam tiga perkara :
1.Ketika peperangan2. Untuk mendamaikan anggota masyarakat atau organisasi yang bertelagah3. Dalam perhubungan suami isteri
Dari Ummu Kalsum binti ‘Uqbah r.a., sesungguhnya ia mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Bukanlah termasuk pendusta orang yang mendamaikan manusia. Ditambahnya yang baik atau dikatakannya yang baik.” (Hadis riwayat Bukhari)

Umat Islam pada hari ini masih lagi terumbang-ambing, lemah, miskin dan berpecah belah meskipun Islam sesungguhnya amat menggalakkan perpaduan, kesatuan, persefahaman dan keharmonian dalam kehidupan sejagat. Dalam erti kata lain, Islam melarang umatnya bergaduh, berperang apalagi bertengkar sesama sendiri sehingga melibatkan perbuatan mencederakan, membunuh dan sebagainya. Inilah sebabnya mengapa Islam memuliakan seorang manusia yang berusaha untuk mendamaikan orang yang bertelagah meskipun terpaksa dilaksanakan dengan cara menipu (perkara yang harus) demi menjalinkan semula ikatan persaudaraan tersebut agar keadaan kembali menjadi aman dan damai.

Begitu juga untuk menjaga akidah, sekiranya seseorang dipaksa untuk mengucapkan sesuatu yang berlawanan dengan akidah, maka dia boleh berbohong. Namun, pembohongan itu dengan syarat, hatinya tetap dalam Islam. Hal ini mengingatkan kita kepada kisah yang menimpa Ammar Yassir yang terpaksa mengaku kembali menyembah berhala apabila dia diseksa teruk dan selspas melihat ibunya Sumayyah dan bapanya, mati ditikam Abu Jahal kerana mempertahankan akidah. Rasulullah SAW ketika ditanya mengenai kedudukan Ammar selepas itu, menyatakan bahawa Ammar tetap terpelihara akidahnya kerana dia dipaksa berbuat begitu dan hal itu di luar kerelaannya.

Berkata Imam an-Nawawi yang mengulas hadis ini, “Hadis ini dengan jelas telah mengharuskan beberapa bentuk pendustaan jika ada maslahah/kepentinga n. Para ulama telah membuat batasan bagi pembohongan yang diharuskan. Batasan yang terbaik ialah yang dikemukakan oleh Imam al-Ghazali yang menjelaskan; percakapan ialah jalan untuk mencapai maksud-maksud tertentu. Jika suatu maksud yang baik dapat dicapai dengan berkata benar, tidak harus lagi berdusta kerana pendustaan tidak diperlukan ketika itu. Namun jika maksud yang baik itu tidak ada cara untuk mencapainya melainkan dengan berbohong, maka ketika itu berbohong adalah harus jika maksud yang ingin dicapai itu hukumnya adalah harus. Jika maksud itu wajib, maka berdusta ketika itu juga wajib (kerana tidak ada cara lain lagi untuk mencapainya) .

Contohnya ada seorang muslim bersembunyi dari seorang lelaki zalim dan kita mengetahui tempat persembunyiannya. Kemudian si zalim itu bertanya kita tempat lelaki muslim itu bersembunyi. Ketika itu wajib kita berbohong (yakni tidak harus kita bercakap benar dengan memberitahunya) . Contoh lain kita ada menyimpan barang milik seseorang muslim, lalu ditanya tentangnya oleh seorang zalim yang ingin merampasnya, maka wajib kita berdusta untuk menyembunyikannya (bagi mengelak ia dirampas). Malah kata Imam al-Ghazali, jika kita memberitahu si zalim itu dan barang itu dirampasnya, wajib kita menggantikannya.

Namun langkah yang lebih berhati-hati ialah dengan kita melakukan at-Tauriyah iaitu berselindung, yakni tidak secara direct berdusta/berbohong. Maksud at-Tauriyah ialah kita bercakap dengan bahasa yang zahirnya nampak macam berdusta, tetapi secara terselindung (yakni biat di hati) kita tidak berdusta. (Lihat; al-Azkar, Imam an-Nawawi, kitab Hifzul-Lisan. *Terjemahan dilakukan secara bebas).

Suami isteri berbohong

Berbohong antara suami isteri pula, hanya dalam keadaan tertentu sahaja, maksudnya dalam perkara yang tidak menyentuh prinsip. Umpamanya, suami memuji masakan isteri kerana ingin ambil hati isteri, sedangkan masakan isterinya tidak kena langsung dengan seleranya. Atau isteri puji suaminya kacak, walaupun hakikatnya suami tidak setampan mana. Tetapi asalkan dengan niat menjaga keharmonian rumahtangga dan eratkan hubungan suami isteri, hal itu dibenarkan.

Kelonggaran dalam berbohong diistilahkan terutamanya oleh orang Melayu sebagai ‘bohong sunat’. Hakikatnya, dalam Islam tiada istilah ‘bohong sunat’, yang ada hanya kelonggaran yang diharuskan dalam keadaan tertentu. Sekiranya dapat mengelak daripada bohong, hal itu lebih digalakkan. Justeru, kelonggaran yang diberi atau dibenarkan untuk berbohong harus digunakan secara tepat untuk menyelesaikan hal rumahtangga.

Namun sebenarnya ramai yang menggunakan kelonggaran ini untuk tujuan yan gsalah. Umpamanya suami berkahwin lain tanpa pengetahuan isteri dan mengambil pendekatan ‘bohong sunat’, kononnya supaya mereka suami isteri tidak bertelagah.

Berbohong satu pengkhianatan

Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya, “Jika kamu bercakap dengan saudaramu percakapan yang ia mempercayainya, sedangkan kamu membohonginya, sesungguhnya perbuatan ini merupakan pengkhianatan besar.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Berbohong ialah menyampaikan sesuatu yang tidak sesuai dengan keadaan sebenarnya. Gejala pembohongan adalah amat keji dan sangat dibenci apalagi yang dibohongi itu adalah orang ramai, maka sudah tentu bahaya dan dosanya lebih berat. Oleh itu Islam menganggap perbuatan berbohong atau berdusta adalah satu perbuatan munafik. Selaku ibu bapa adalah tidak wajar untuk membohongi anak-anak dengan alasan untuk memujuk mereka atau menahan mereka daripada sesuatu kemarahan. Hal ini kerana ia akan menghilangkan kepercayaan anak-anak terhadap ibu bapa menjadikan segala nasihat dan tunjuk ajar yang diberikan tidak berkesan.

Jangan dibudayakan

Dalam konteks hubungan majikan atau ketua denga para pekerja, bohong boleh berlaku jika majikan tidak menjelaskan hal sebenarnya mengenai pentadbiran syarikat yang merosot. Tetapi jika majikan berbuat demikian kerana tidak mahu para pekerja bimbang dan pada masa yang sama ingin mencari jalan untuk membaiki keadaan, hal itu dianggap satu kelonggaran.

Namun sekiranya keadaan gagal dikendalikan, tidak wajar majikan atau ketua terus berbohong dan menyembunyikan hal sebenar keran itu seperti menganiaya pekerja.

Tidak kurang juga yang sering berlaku dalam organisasi, perbalahan sesama pekerja yang mungkin akan membawa mudarat jika tidak ditangani dengan segera. Justeru, jika pembohongan tertentu dapat menyelamatkan keadaan dan mewujudkan keharmonian sesama pekerja, ia dibolehkan.

Namun, bohong jangan dibudayakan kerana ia lambat-laun akan merosakkan keharmonian dan boleh meruntuhkan masyarakat. Walaupun ada kelonggaran berbohong, jika boleh dielakkan, adalah lebih baik dielakkan!

9.10.09

GAMBAR-GAMBAR SEMINAR














4.10.09

KULAT KUKU


SESEORANG selalunya tidak sedar jika masalah kulat atau fungus mula menjangkiti satu atau lebih kukunya. Daripada titik kecil berwarna kekuningan di hujung kuku tangan atau kaki, ia boleh memburuk hingga menyebabkan warna kuku berubah menjadi gelap, mengeras, hilang lapisan berkilat dan teksturnya menggerutu.

Keadaan itu memalukan si empunya diri kerana rupa kuku yang mengundang perasaan geli, walaupun hanya dengan melihatnya. Sebelum ia semakin merebak dan membuatkan seseorang berasa tidak selesa, kawalan dan rawatannya perlu disegerakan.

Peratusan jangkitan kulat kuku atau onikomikosis lebih tinggi di negara yang beriklim panas dan lembap seperti Malaysia.

Jika kaki sering bersarung kasut dalam iklim begitu, perpeluhan akan berlaku dan ia mengundang bukan sahaja pembiakan bakteria, malah pembentukan kulat.

Lebih membimbangkan, jangkitan kulat ini bukan sahaja boleh berlaku dari kuku kaki ke kuku tangan seseorang, bahkan boleh disebar pula oleh agen air. Maka, tempat-tempat seperti kolam renang awam dan bilik air juga lokasi ideal untuk kulat ini menjangkiti orang lain.

Jangkitan kulat ini boleh menyebabkan seseorang berasa gatal dan perit selain mampu meninggalkan kerosakan kekal kepada kuku. Ia juga membuka risiko jangkitan yang lebih teruk dan ini berbahaya untuk penghidap diabetes atau mereka yang lemah sistem imunisasi seperti penghidap leukemia, AIDS atau yang sedang menjalani pemindahan organ.

"Apabila kulat mula 'menghuni' kuku, ia sukar dilenyapkan dengan cepat. Namun, ia boleh dibasmi jika seseorang berdisiplin dalam menjalankan rutin rawatannya.

"Ia tidak hilang dengan sendiri, maka seseorang yang mengalaminya tidak boleh memandang ringan masalah ini. Penggunaan minyak sapu adalah pilihan paling mudah," kata pakar bedah tangan di Marin General Hospital California, Amerika Syarikat (AS), Dr. David Nelson.

Ubat sapu

Menurut Nelson dalam portal kesihatannya, pesakit di AS yang dijangkiti kulat kuku lazimnya diberikan pil griseofulvin untuk tempoh antara enam bulan sehingga setahun.

"Tetapi, ia meninggalkan kesan sampingan seperti sakit kepala, loya, gangguan fungsi darah dan kerosakan hati. Sebab itulah ramai doktor menyarankan ubat sapu termasuk minyak homeopati.

Bagaimanapun, membuang terus kuku yang dijangkiti itu tidak akan membebaskan seseorang daripada onikomikosis.

"Apabila lapisan kuku baru mula terbentuk, jangkitan akan bermula semula," kata Nelson.

Jika tidak berkesempatan bertemu doktor, terdapat beberapa jenis dan jenama ubat sapuan yang boleh didapatkan di kaunter farmasi.

Pesakit diingatkan untuk membaca keterangan pada label produk terlebih dahulu untuk memahami lebih lanjut cara, proses, dan kesan penggunaan ubat-ubatan tersebut.

Sebelum menyapu ubat, pesakit perlu selalu membersihkan kuku tangan dan kaki, baik yang dijangkiti mahupun yang tidak dijangkiti.

Ubat perlu disapu di bahagian hujung dan di bawah lapisan kuku serta di unjuran pangkal kulit dengan sekata. Ia penting kerana bahagian kulit yang terjejas dengan jangkitan kulat di sekeliling kuku (paronisia) boleh dijangka kerana bakteria dan kulat merebak apabila fungsi ketahanan tubuh terjejas.

"Apabila menyapu krim pembasmi kulat itu, bahagian kutikel tidak perlu ditolak atau dikorek. Manakala bagi wanita, pemakaian kuku palsu aalah lebih baik dielakkan. Pembersihan kuku dengan pembersih pengilat kuku juga tidak digalakkan bagi menghindar masalah yang berkaitan," terang Nelson.
KOSMO

4.10.09

ANCAMAN KLORIN


SAINTIS memberi amaran tentang peningkatan risiko asma kepada kanak-kanak yang kerap menggunakan kolam renang tertutup.

Menurut profesor toksikologi dari Universiti Catholic, Louvain, Perancis, Alfred Bernard, klorin yang terdapat di dalam kolam renang tersebut mampu mengganggu laluan udara dan paru-paru serta meningkatkan risiko alahan.

Kajian tersebut juga mendedahkan klorin yang digunakan meningkatkan kesan terhadap sistem pernafasan kanak-kanak sehingga lima kali ganda, lebih serius daripada kesan asap rokok pasif.
KOSMO 4 OKTOBER 09

Template by:
Free Blog Templates