22.10.09

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merujuk kepada laporan yang disiarkan dalam media pada 20 Oktober 2009 berhubung dengan Laporan Ketua Audit Negara 2008 mengenai 9,000 majikan tidak membayar caruman KWSP.

Terlebih dahulu, KWSP ingin menyatakan bahawa KWSP menghargai pandangan yang diberikan oleh Ketua Audit Negara seperti terkandung dalam Laporan tersebut dan menyokong usaha mereka untuk menambah baik sistem penyampaian sektor awam di negara ini.

Dengan pengukuhan proses dan menggiatkan tindakan penguatkuasaan yang disokong oleh sistem IT yang kukuh, KWSP telah berjaya mengurangkan kadar majikan tidak mencarum sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Setakat September 2009, kadar majikan tidak mencarum telah mencatatkan penurunan kepada 1.75 peratus berbanding 2.05 peratus pada Disember 2008. Penurunan ini adalah ketara berbanding 5.65 peratus yang dicatatkan pada 2000. (Sila Rujuk Lampiran, Carta 1)

Pada tahun-tahun kebelakangan ini, tindakan penguatkuasaan KWSP lebih tertumpu kepada majikan bersaiz besar dengan jumlah caruman yang tinggi kerana kegagalan mencarum oleh majikan ini akan melibatkan bilangan ahli yang ramai dan jumlah caruman yang besar.

Berdasarkan prestasi itu, KWSP percaya bilangan pegawai pemeriksa pada ketika ini adalah mencukupi dan optimum. Bagaimanapun, KWSP akan mengkaji semula keperluan ini dari semasa ke semasa mengikut keadaan.

KWSP ingin menjelaskan bahawa angka 9,000 yang dipetik dalam laporan media itu adalah bilangan terkumpul majikan tidak mencarum sejak beberapa tahun lalu. Sehingga kini, tindakan undang-undang telah diambil ke atas lebih 95 peratus majikan manakala hanya kurang daripada lima peratus sedang dalam siasatan.

Merujuk kepada KWSP tidak mengambil tindakan terhadap sesetengah aduan yang melibatkan majikan yang tidak membayar caruman, KWSP ingin menjelaskan bahawa kegagalan ahli mengemukakan dokumen sokongan yang lengkap dan ahli lambat membuat aduan sehingga majikan yang terbabit telah berhenti beroperasi telah menjejaskan siasatan. Bagaimanapun, KWSP ingin menegaskan bahawa setiap aduan diberikan perhatian yang serius dan akan diambil tindakan segera.

Setakat September 2009, KWSP telah memfailkan 7,224 kes jenayah (2008: 7,164 kes) dan 932 kes sivil tahun ini (2008: 756 kes) terhadap majikan yang tidak membayar caruman bagi pihak pekerja mereka.

Pada tahun ini, KWSP juga telah mengemukakan nama 832 pengarah (2008: 932 pengarah) kepada Jabatan Imigresen untuk menghalang mereka daripada meninggalkan negara jika tidak menyelesaikan caruman tunggakan terlebih dahulu seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 39 Akta KWSP.

KWSP sentiasa mengutamakan kepentingan ahli serta perlindungan simpanan persaraan mereka dan akan mengambil segala langkah perlu bagi memastikan majikan melaksanakan tanggungjawab mencarum mereka.

Oleh itu, adalah penting bagi ahli untuk turut memainkan peranan dan sentiasa menyemak penyata kira-kira mereka bagi memastikan majikan membayar caruman pada masa yang ditetapkan. Sekiranya terdapat keraguan, ahli dinasihatkan untuk mendapatkan penjelasan daripada majikan atau melaporkan kepada KWSP dengan segera.

(NIK AFFENDI JAAFAR)
Pengurus Besar
Perhubungan Awam
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

Tarikh: 20 Oktober 2009

0 comments:

Template by:
Free Blog Templates