7.5.10

Selamat Hari Pekerja

KUALA LUMPUR - Seluruh dunia menyambut Hari Pekerja hari ini. Hari Pekerja diwartakan sebagai hari cuti umum di Malaysia bagi mengiktiraf sumbangan pekerja dalam membangunkan negara.

Dari sudut sejarahnya, Hari Pekerja yang dahulunya dikenali sebagai Hari Buruh adalah satu hari bagi mengingati pencapaian sosial dan ekonomi hasil perjuangan para pekerja.

Sejak awal kurun ke-19, perubahan daripada sektor pertanian kepada perindustrian telah menarik jutaan warga desa berhijrah ke bandar. Perkembangan ini mewujudkan budaya baharu dari segi masa, gaji, dan etika kerja. Bagaimanapun, kebanyakan pekerja mendapati mereka terperangkap dengan terpaksa bekerja lebih masa, dibayar gaji yang rendah di samping bekerja dalam suasana yang teruk. Masa bekerja biasanya antara 10 hingga 16 jam sehari dengan cuti hanya sehari seminggu.

Pada tahun 1810, pergerakan pekerja menuntut suasana kerja yang lebih berperi kemanusiaan. Slogan '8 jam kerja, 8 jam rekreasi, 8 jam rehat' mula dipopularkan. Perjuangan ini bagaimanapun bkan mudah. Di Australia, pekerja pembinaan melancarkan mogok selama dua minggu, di Kanada, 10,000 penduduknya berarak dalam demonstrasi jalanan, manakala di Amerika, lapan orang dihukum mati kerana terlibat dalam rapat raksasa yang menimbulkan kekecohan. Pada 1884, Persekutuan Persatuan Pekerja dan Buruh mendesak lapan jam waktu berkerja di Amerika Syarikat. Desakan ini akhirnya berjaya dan mula dikuatkuasakan pada 1 Mei, 1886.

Bersempena peristiwa tersebut, majoriti negara di seluruh dunia bersetuju menjadikan 1 Mei sebagai Hari Pekerja Antarabangsa.

Bagaimanapun bagi tahun 2010 ini, Kementerian Sumber Manusia bagi pihak kerajaan pusat akan menganjurkan Majlis Perhimpunan Perpaduan Sempena Hari Pekerja 2010 pada 8 Mei 2010 (Sabtu) bertempat di Malaysia International Exhibition and Convention Centre (MIECC), MINES Resort City, Seri Kembangan, Selangor.

Dianggarkan kira-kira 8,000 orang pekerja yang terdiri daripada pelbagai sektor yang mewakili setiap kategori pekerjaan akan menyertai perhimpunan ini yang akan dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri. Tema hari pekerja pada tahun 2010 adalah 'Pekerja Berinovasi Pemacu Transformasi'. Sebanyak tiga anugerah disediakan sempena sambutan Hari Pekerja 2010 ini iaitu Anugerah Pekerja Cemerlang, Anugerah Majikan Prihatin dan Anugerah Majikan Berdaya Saing.

Dalam perkembangan lain, Pakatan Rakyat akan mengadakan Perhimpunan Pekerja dan Wacana Kebangsaan ke-5 pada hari yang sama (Sabtu, 8 Mei 2010) di Kompleks PKNS Shah Alam. Antara objektif perhimpunan ini adalah bagi memberi maklumat tentang polisi, perancangan, serta peranan Pakatan Rakyat dalam mengurus isu-isu berkaitan pekerja, mendedahkan isu-isu dikriminasi, manipulasi, penindasan, salah guna kuasa dan penganiyaan terhadap kaum pekerja di samping membincangkan isu pembuangan pekerja,kemelesetan ekonomi dan kenaikan harga barang yang masih lagi berada ditahap yang membimbangkan.


0 comments:

Template by:
Free Blog Templates