19.5.12

Laporan berat sebelah: Nube menang kes saman

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan NewStraits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) dan tiga wartawannya membayar ganti rugi RM250,000 kepada Kesatuan Pekerja-Pekerja Bank Kebangsaan (Nube) kerana laporan berat sebelah dalam empat artikel yang berunsur memfitnah. Hakim Datuk Lau Bee Lan turut memerintahkan bekas anggota majlis eksekutif Nube, Ahmed Merican Kader Mydin, membayar ganti rugi RM10,000 kepada kesatuan itu. Selain itu, Hakim Lau yang membuat keputusan dalam kamar, memerintahkan NSTP membayar RM60,000 manakala Ahmed Merican RM1,000 sebagai kos kepada Nube dan tujuh lagi. Pada April 2007, Nube dan Setiausaha Agungnya, J.Solomon serta enam anggota jawatankuasa kesatuan itu, memfailkan saman fitnah terhadap NSTP, Ahmad Fairuz Othman, P.Selvarani, Rina De Silva dan Ahmed Merican. Peguam Alex De Silva dan Vinesh Varghese, yang mewakili Nube, memberitahu pemberita hakim itu mendapati artikel berkenaan sememangnya berunsur memfitnah, sehubungan itu, terdapat elemen laporan berat sebelah. "Hakim juga mendapati Nube telah memberikan komen berhubung isu yang diterbitkan melalui e-mel dan surat, namun NSTP gagal mengambil kira komen berkenaan," katanya. Vinesh berkata mahkamah juga mengeluarkan perintah injunksi bagi menghalang NSTP dan ejennya daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah yang serupa berkaitan Nube. Saman itu difailkan berhubung artikel terbitan NSTP antara 22 Julai dan 4 September 2006, yang antara lain, berkaitan pemecatan pengerusi dan presiden Nube cawangan Pulau Pinang, Abdul Jalil Abdul Hamid. Plaintif mendakwa reputasi dan nama baik mereka terjejas teruk akibat penerbitan artikel berkenaan. - Bernama

0 comments:

Template by:
Free Blog Templates