28.3.09

Laporan skim pencen pekerja swasta Julai

Utusan Malaysia - Jumaat, 20 Mac 2009

KUALA LUMPUR 19 Mac Laporan cadangan penubuhan Skim Pencen Kebangsaan Untuk Sektor Swasta dijangka siap empat bulan lagi, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam.

Beliau berkata, perbincangan mengenai skim tersebut melibatkan kementeriannya, Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

“Kerajaan bersetuju untuk meninjau kemungkinan mewujudkan suatu skim pencen bagi faedah pekerja sektor swasta.

“Kementerian Sumber Manusia telah mengambil inisiatif dalam perkara ini dan perbincangan awal di antara agensi-agensi kerajaan yang terlibat diadakan baru-baru ini,†katanya.

Beliau menjawab soalan Dr. Mohd. Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) mengenai usaha kerajaan membela nasib pesara sektor awam dan skim pencen swasta pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Subramaniam berkata, kajian awal mendapati kebanyakan pencarum KWSP menggunakan simpanan mereka dalam tempoh yang singkat sehingga menggagalkan matlamat simpanan untuk hari tua.

Selain itu, katanya, berlaku perubahan sosial yang menyebabkan anak-anak tidak lagi membantu ibu bapa mereka dari aspek kewangan.

“Kerajaan sentiasa prihatin terhadap masa depan pekerja termasuk dari sektor swasta dan kerana itu kita mahu wujudkan sistem yang sesuai untuk semua rakyat supaya mereka dapat pencen sepanjang hayat,†katanya.

0 comments:

Template by:
Free Blog Templates