KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Top Glove Corporation Bhd, pengeluar terbesar sarung tangan getah di dunia, mencatatkan pertumbuhan keuntungan sebelum cukai sebanyak 105 peratus bagi enam bulan pertama tahun kewangan berakhir 28 Feb, 2010.
Ia meraih keuntungan sebelum cukai sebanyak RM180.5 juta berbanding RM88.2 juta yang dicatatkan dalam tempoh enam bulan yang sama sebelumnya.
Bagi enam bulan itu, syarikat itu juga mencatatkan jualan hebat sebanyak RM982.2 juta berbanding RM732.6 juta sebelumnya.
Pengerusi Top Glove, Tan Sri Lim Wee Chai, berkata kumpulan itu meneruskan momentum pertumbuhan keuntungannya yang kukuh kerana ia berjaya menguasai agihan pasaran tambahan, terutamanya di negara-negara sedang berkembang.
"Kami juga meraih manfaat daripada langkah-langkah penjimatan kos yang dilaksanakan di semua kilang, peningkatan kualiti produk, produktiviti dan juga strategi pemasaran yang agresif bagi mengekalkan kedudukan nombor satu dalam pasaran dunia," katanya dalam satu kenyataan Rabu.
Bagi suku kedua berakhir 28 Feb, syarikat itu mencatatkan pertumbuhan keuntungan sebelum cukai sebanyak 109 peratus, dan melonjak kepada RM93.9 juta daripada RM44.9 juta dalam suku yang sama tahun lepas.
Bagi tempoh tiga bulan itu, pendapatan juga meningkat sebanyak 47 peratus kepada RM509.9 juta daripada RM346.5 juta sebelumnya.
Melangkah ke hadapan, Top Glove menjangkakan pertumbuhan pendapatan yang konsisten dan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 36 peratus dapat dikekalkan.
"Kami optimis tentang pertumbuhan berterusan dan prestasi keuntungan yang baik meskipun menghadapi cabaran semasa seperti kenaikan kos bahan mentah dan penurunan nilai dolar AS," kata Lim.
Syarikat yang sedang dalam proses menambah kapasiti pengeluaran sarung tangan sebanyak 88 mesin lagi itu, menjangkakan dapat menghasilkan 8.25 bilion keping sarung tangan tambahan, setahun.
-- BERNAMA
'Toxic masculinity' and the class divide
2 hari yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan