HONG KONG 26 April - Bank Pembangunan Asia (ADB) memberi amaran harga makanan dunia yang melonjak lebih 30 peratus dalam tempoh dua bulan pertama pada tahun ini boleh menjerumuskan berjuta-juta penduduk Asia ke dalam kancah kemiskinan teruk serta menjejaskan pertumbuhan ekonomi.
ADB yang berpangkalan di Manila dalam laporannya hari ini berkata, kenaikan harga makanan domestik di banyak negara Asia mencapai kadar purata 10 peratus pada awal tahun ini dan dijangka berterusan disebabkan kenaikan harga minyak dunia, kekurangan pengeluaran kerana cuaca buruk dan sekatan eksport oleh beberapa negara pengeluar makanan.
Peningkatan pesat kos makanan memberi tamparan besar kepada rantau Asia yang telah pulih dengan pantas daripada krisis ekonomi dunia.
Tekanan ke atas harga makanan dunia dijangka tidak reda dalam tempoh terdekat, menurut ADB.
Kenaikan 10 peratus dalam harga makanan domestik boleh menyebabkan 64 juta penduduk menjadi miskin, di samping menjejaskan lagi taraf hidup keluarga yang sudah pun hidup dalam kemiskinan, ramal bank tersebut.
Jika harga makanan dan minyak terus berada pada paras tinggi sehingga ke akhir tahun ini, pertumbuhan ekonomi di negara-negara membangun di Asia boleh menyusut sehingga 1.5 peratus, menurut laporan itu.
Ketua pakar ekonomi ADB, Changyong Rhee berkata, pengharaman eksport makanan hendaklah dielakkan dan pelaburan lebih besar dibuat dalam sektor pertanian.
Keluarga miskin di Asia lebih menderita disebabkan inflasi harga makanan kerana mereka membelanjakan sehingga 60 peratus daripada pendapatan mereka untuk membeli makanan, jauh lebih tinggi berbanding kadarnya di negara maju. - AP
'Toxic masculinity' and the class divide
2 hari yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan