UCAPAN YB DATUK DR. S.SUBRAMANIAM,
MENTERI SUMBER MANUSIA MALAYSIA
SEMPENA PERHIMPUNAN HARI PEKERJA 2009
PADA 2 MEI 2009, JAM 9.30 pagi
DI STADIUM PUTRA BUKIT JALIL
YAB Dato' Sri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia
Yang Berbahagia Tan Sri Mohd. Sidek Bin Hassan
Ketua Setiausaha Negara
Yang Berhormat Senator Dato’ Maznah Binti Mazlan
Timbalan Menteri Sumber Manusia
Yang Berbahagia Tan Sri Ismail Bin Adam
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia
Yang Berbahagia Dato’ R. Segarajah
Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia
Yang Berbahagia Dato' Azman Shah Bin Dato' Seri Harun
Presiden Persekutuan Majikan – Majikan Malaysia (MEF)
Yang Berbahagia Tuan Syed Shahir Bin Mohamud
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)
Yang Berbahagia Tuan Haji Omar Bin Osman
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS)
Y.Bhg. Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan, warga pekerja yang saya hormati sekalian.
Selamat pagi dan salam sejahtera.
Saya, bagi pihak Kementerian Sumber Manusia, ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YAB Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia di atas kesudian beliau melapangkan masa, hadir bersama kita di majlis Perhimpunan Hari Pekerja pada tahun ini. Sesungguhnya kehadiran YAB Dato’ Sri akan memeriahkan lagi majlis pada pagi ini. Saya bersyukur kerana pada tahun ini sekali lagi kita dapat menyambut Hari Pekerja dalam keadaan harmoni dan sejahtera, walaupun negara sedang menghadapi masalah akibat kelembapan ekonomi global.
Saya juga ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada warga pekerja yang telah datang beramai-ramai untuk menyertai perhimpunan hari ini. Saya merasa amat terharu dengan sambutan yang begitu menggalakkan pada perhimpunan hari ini yang disertai oleh 91 kontinjen daripada perkhidmatan awam dan 60 kontinjen sektor swasta.
Kerana Mu Malaysia Maju merupakan tema Perhimpunan Hari Pekerja pada tahun ini. Tema ini dipilih sebagai penghargaan Kerajaan bagi mengiktiraf jasa serta sumbangan warga pekerja dan majikan yang telah memainkan peranan masing-masing sebagai satu pasukan ke arah menjadikan Malaysia negara maju.
YAB Dato’ Sri, bagi pihak Kementerian Sumber Manusia, saya ingin menyatakan di sini bahawa kami komited untuk bersama-sama dengan YAB Dato’ Sri bagi menjayakan konsep “Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Saya yakin seluruh warga pekerja dan majikan di negara ini juga akan turut bersama-sama YAB Dato’ Sri dalam merealisasikan konsep ini. Para pekerja diseru menghayati dan mengamalkan nilai-nilai yang menjadi teras kepada konsep ini iaitu Budaya Kecemerlangan; Ketabahan; Rendah Hati; Penerimaan; Kesetiaan; Meritokrasi; Pendidikan dan Integriti. Saya yakin sekiranya kita semua menghayati nilai-nilai ini, kita akan dapat memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang.
YAB Dato’ Sri dan para hadirin yang dihormati sekalian,
Krisis ekonomi global yang sedang berlaku telah memberi impak negatif kepada kebanyakan negara. Malaysia tidak terkecuali daripada tempias krisis tersebut. Antara sektor yang terjejas oleh krisis ekonomi adalah sektor pembuatan, khususnya subsektor elektrik dan elektronik serta tekstil dan pakaian. Akibat daripada kelembapan ekonomi ini telah menyebabkan peningkatan kadar pemberhentian pekerja. Dalam hubungan ini, di antara langkah awal Kementerian Sumber Manusia (KSM) untuk menangani isu pemberhentian pekerja, adalah pewujudan Jawatankuasa Tripartite Pemantauan Pemberhentian Pekerja di peringkat Kebangsaan dan Negeri yang bermesyuarat setiap bulan untuk memantau dan mencadangkan langkah-langkah bagi mengatasi impak krisis ekonomi terutamanya terhadap pekerja yang diberhentikan. Dalam usaha meningkatkan accessibility khidmat bantuan Kerajaan kepada rakyat, Kementerian juga telah menubuhkan Bilik Gerakan Pemantauan Pemberhentian Pekerja di Kementerian Sumber Manusia dan 80 Bilik Operasi Pemantauan Pemberhentian Pekerja yang ditempatkan di Pejabat Tenaga Kerja di seluruh negara. Bilik gerakan tersebut diwujudkan untuk memantau kes-kes pemberhentian tetap, pemberhentian sukarela, pemberhentian sementara dan pengurangan gaji. Bilik gerakan ini juga akan mendapat dan mengesahkan kekosongan jawatan, membuat penempatan semula pekerja dan memberi latihan kepada mereka yang tidak dapat ditempatkan.
Dari bulan Oktober 2008 hingga 30 April 2009, seramai 17,436 pekerja tempatan telah diberhentikan secara tetap, manakala 7,418 lagi diberhentikan kerja secara sukarela (VSS). Majoriti daripada pekerja-pekerja yang diberhentikan adalah dari sub-sektor elektrik dan elektronik, tekstil dan pakaian serta sektor perkhidmatan. Dengan komitmen dan usaha yang berterusan daripada pihak Kementerian Sumber Manusia, sehingga 30 April 2009, seramai 7,285 orang daripada pekerja yang diberhentikan kerja telah berjaya ditempatkan semula. Kerajaan menggalakkan para majikan agar mengambil pekerja yang diberhentikan dengan memberikan beberapa insentif percukaian. Kementerian Sumber Manusia bersedia untuk memberi latihan bagi bidang kemahiran yang diperlukan oleh industri, termasuk pemberian elaun kepada pelatih terbabit.
Pada tahun 2009, Kementerian telah mengenal pasti sebanyak 209,675 peluang pekerjaan yang berpotensi untuk diisi oleh rakyat tempatan di sektor pembuatan, perkhidmatan, perladangan, pertanian dan pembinaan. Kementerian berharap akan dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing, di samping majikan terus mengutamakan pengambilan pekerja tempatan. Majikan hendaklah mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk menarik minat rakyat tempatan bekerja seperti membuat penyesuaian masa bekerja dan menawarkan kadar gaji yang bersesuaian dengan kerja yang dijalankan.
Kementerian juga turut melaksanakan program Community-based Employment Support Service (CESS) yang meliputi 3 elemen penting iaitu Perancangan Guna Tenaga Nasional, Program Bimbingan Kerjaya dan Program Penempatan serta Pembangunan Kerjaya. Kementerian juga sedang giat menubuhkan 22 buah Pusat JobsMalaysia untuk melaksanakan Program CESS di seluruh negara. Pusat JobsMalaysia merupakan pusat sehenti di mana majikan yang memerlukan pekerja dan pencari kerja boleh mendaftar supaya pemadanan pekerjaan dapat dilakukan. Selain daripada itu, Kementerian juga telah memperluaskan liputan JobsMalaysia kepada sektor awam. Sukacita dimaklumkan bahawa, sejak dilaksanakan mulai Mei 2008 sehingga 26 April 2009, sebanyak 306 majikan dari pelbagai agensi Kerajaan telah menggunakan portal JobsMalaysia untuk mencari calon pekerja. Satu pelan induk Pelan Induk Keselamatan dan Kesihataan Pekerjaan juga telah digubal bagi menyusun dan melaksanakan langkah–langkah untuk meningkatkan serta memantapkan lagi tahap Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di negara ini.
Para hadirin sekalian,
Saya ingin menggesa semua majikan mengubah persepsi mereka terhadap pekerja tempatan dan mengurangkan kebergantungan mereka kepada pekerja asing. Selama ini majikan menganggap pekerja tempatan kurang komited terhadap kerja berbanding pekerja asing. Majikan hendaklah menimbangkan pembayaran gaji yang setimpal dengan kemahiran dan pengalaman pekerja. Pekerja tempatan pula harus menukar sikap daripada terlalu memilih kerja sehingga sanggup menganggur. Pekerja tempatan juga perlu memperkukuhkan jati diri, meningkatkan disiplin dan memiliki ketabahan dan daya tahan yang tinggi dalam menghadapi cabaran alam pekerjaan.
Untuk menggalakkan lebih ramai penyertaan pekerja tempatan dalam sektor perladangan, perkhidmatan dan pembinaan, saya ingin mencadangkan supaya imej, kualiti latihan dan kemudahan di tempat kerja serta suasana dan masa bekerja di naik taraf. Kesan langsung daripada penambahbaikan ini akan menghasilkan pekerja yang multi-tasked dan multi-skilled. Ini akan membawa kepada peningkatan kepada mutu kerja dan seterusnya peningkatan di dalam gaji pekerja tersebut, dan akhirnya akan menarik minat pekerja tempatan untuk menyertai bidang berkenaan.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada tokoh-tokoh dan organisasi yang bakal diisytiharkan sebagai penerima anugerah. Pada tahun ini, sebanyak 13 kategori anugerah dipertandingkan iaitu antaranya Pekerja Cemerlang, Majikan Prihatin, Majikan Berdaya Saing dan Kesatuan Sekerja Contoh. Saya amat gembira dengan jumlah penyertaan pertandingan yang semakin meningkat, berbanding sebelumnya. Bagi mereka yang tidak terpilih pula, tidak bermakna segala usaha mereka tidak diiktiraf atau dihargai oleh Kerajaan.
Sebelum mengakhiri ucapan, saya sekali lagi merakamkan penghargaan dan ucapan ribuan terima kasih kepada YAB Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak atas kesudian YAB meluangkan masa menyertai Perhimpunan pada pagi ini dan seterusnya menyampaikan amanat kepada semua warga pekerja dan majikan. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pekerja dan majikan di sektor awam dan swasta, yang bersama-sama menjayakan perhimpunan sambutan hari pekerja pada pagi ini.
Akhir sekali, saya mengucapkan selamat menyambut Hari Pekerja 2009 kepada semua. Kerana Mu, Malaysia Maju.
Sekian, terima kasih.
'Toxic masculinity' and the class divide
2 hari yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan