15.2.10

Pengeluaran Getah Asli Disember 2009 Naik 56.2 Peratus

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Pengeluaran getah asli pada Disember tahun lepas naik kepada 97,002 tonne, meningkat 34,897 tonne atau sebanyak 56.2 peratus berbanding Disember 2008, kata Jabatan Perangkaan.

Pengeluaran juga meningkat sebanyak 53.5 peratus berbanding November tahun lepas.

Sektor kebun kecil menyumbang 94.1 peratus kepada jumlah pengeluaran dengan sektor estet mengeluarkan baki 5.9 peratus, kata jabatan itu dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, eksport getah asli Malaysia pada Disember meningkat sebanyak 8.3 peratus atau 5,400 tonne daripada 64,969 tonne pada November 2009. Eksport juga tinggi sebanyak 58.4 peratus berbanding Disember 2008.

Destinasi utama eksport adalah ke China dengan 29,493 tonne, Jerman 8,595 tonne, Korea 3,598 tonne, Iran 3,522 tonne, dan Amerika Syarikat 3,142 tonnes.

Bagi import sepanjang bulan tersebut, jabatan itu berkata ia naik 28.3 peratus kepada 81,973 tonne berbanding bulan sebelumnya November, manakala import tahun ke tahun meningkat sebanyak 130.8 peratus.

Penggunaan domestik getah asli pada Disember meningkat 1.5 peratus kepada 41,572 tonne berbanding penggunaan bulan sebelumnya. Ia naik 15.2 peratus berbanding bulan yang sama pada 2008.

Pada akhir Disember, stok getah asli meningkat 20.7 peratus kepada 161,725 tonne atau naik sebanyak 27,707 tonne berbanding stok pada November.

Bagaimanapun berbanding bulan yang sama pada 2008, stok hanya meningkat 3.4 peratus.

Harga purata bulanan lateks pekat meningkat 13.7 peratus kepada 587.05 sen pada Disember berbanding November 2009. Ia naik 75.4 peratus berbanding Disember 2008.

Jabatan itu berkata harga SMR 20 pada Disember 2009 ialah 926.12 sen sekilogram, meningkat 13.4 peratus daripada November. Bagaimanapun harga tahun ke tahun naik dengan ketara sebanyak 116.8 peratus.

Sejumlah 10,378 orang diambil bekerja di estet getah pada akhir tahun lepas, turun 6.3 peratus daripada Disember 2008.

-- BERNAMA


0 comments:

Template by:
Free Blog Templates