15.2.10

Prospek Bagi Sarung Tangan Getah Terus Positif, CIMB Research

KUALA LUMPUR, Jan 6 (Bernama) -- Prospek sektor sarung tangan getah kekal positif, dengan permintaan masih berkekalan, kata CIMB Research.

Tahun 2009 sangat baik untuk sektor itu, dengan permintaan dijangka kukuh dalam tempoh beberapa tahun akan datang, kata firma penyelidikan itu dalam laporannya Rabu.

Pengilang sarung tangan Malaysia mengeluarkan sarung tangan gred perubatan dan pemeriksaan, merangkumi kira-kira 90 peratus daripada jumlah keluaran.

"Sarung tangan getah terus melindungi penyebaran penyakit, terutama bagi pekerja penjagaan kesihatan," kata CIMB Research.

"Kami percaya permintaan untuk sarung tangan getah bukan sahaja kukuh, malah terus berkembang berikutan kesedaran orang ramai mengenai kebersihan, pengawalan kesihatan serta peningkatan penduduk," katanya.

CIMB Research berkata berdasarkan kekurangan sarung tangan getah di dunia, pengilang sarung tangan getah Malaysia akan mengembangkan kapasiti mereka secara besar-besaran pada tahun-tahun akan datang.

"Memandangkan prospek kekal positif bagi industri ini, pengilang sarung tangan getah akan memulakan pelan pengembangan mereka. Ada sesetengah syarikat telah memulakan pelan itu pada 2009, bagi mengambil kesempatan terhadap permintaan yang tinggi pada masa ini," katanya.

Prestasi syarikat sarung tangan getah mengatasi Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) pada 2009, melonjak 94 hingga 540 peratus berbanding keuntungan 45 peratus bagi KLCI, kata firma penyelidikan itu.

"Walaupun prestasi itu kukuh, penarafan P/E (harga/pendapatan) kekal pada diskaun kepada pasaran dan tidak pada premium mengikut sejarah dagangannya sebelum ini," kata laporan itu.

"Kami percaya syarikat sarung tangan getah masih dibawah nilai dan menawarkan peningkatan pendapatan yang sangat besar berdasarkan program pengembangan itu," katanya.

Selain keupayaan berkembang, syarikat pengilang sarung tangan getah mengguna teknologi untuk mengekalkan kelebihan saing mereka, kata CIMB Research.

"Menerusi teknologi dan automasi, syarikat akan berupaya meningkatkan mutu dan kecekapan keseluruhannya, yang menjadikan kos lebih rendah dan margin yang lebih baik dalam jangka masa panjang," katanya.



-- BERNAMA

0 comments:

Template by:
Free Blog Templates