15.2.10

Pengharaman Sarung Tangan Getah Oleh Johns Hopkins Terdorong Oleh Isu Perdagangan

Satu laporan khas oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) - Para pengeluar susu getah utama di Malaysia tidak gusar dengan percubaan sebuah hospital Amerika untuk memburukkan sarung tangan getah mereka kerana ia merupakan isu yang telah mencapai usia sedekad yang diketengahkan semula atas sebab-sebab yang terdorong oleh ketakutan kehilangan pasaran dari isu sebenar kesihatan atau perubatan.

Malah, Pentadbiran Makanan dan Dadah AS (FDA) tidak mengharamkannya manakala permintaan bagi mendapatkan sarung tangan getah Malaysia dari Amerika semakin baik di mana import kian meningkat sejak beberapa tahun lepas.

Ini adalah ekoran dari pengharaman ke atas sarung tangan getah oleh Hospital Johns Hopkins di premisnya di Baltimore terhadap dakwaan bahawa sarung tangan getah sedemikian menyebabkan reaksi alahan yang dikenali sebagai "anaphylaxis" yang boleh menyebabkan kematian.

Bagaimana pun, tiada kematian dilaporkan sehingga ini.

"Persoalan yang kusut sekarang ini, kenapa Hospital Johns Hopkins di Baltimore mengharamkan produk itu apabila FDA tidak mengharamkannya," kata Ketua Pegawai Ekskutif Supermax Corporation Bhd Datuk Stanley Thai dalam satu respons kepada pertanyaan Bernama.

Dengan itu, beliau melihatnya sebagai "satu isu perdagangan daripada isu teknikal."

Pengarah Eksekutif Top Glove Corporation Bhd Lim Cheong Guan berkata pengharaman itu bukan baru atau tidak dijangka, tetapi mempercayai ada motif tersembunyai bagi hospital itu untuk mengambil langkah sedemikian.

Katanya kesemua sarung tangan perubatan yang dieksport ke AS perlu menjalani ujian ketat oleh FDA dan pengeluaran di kilang mematuhi prosedur dan standard yang berdasarkan akreditasi dan pentauliahan oleh pihak berkuasa kesihatan negara yang mengeksportnya ke AS.

"Talian pengeluarannya juga perlu mematuhi dengan keperluan ketat kandungan protein minimum yang ditetapkan oleh Lembaga Getah Malaysia (MRB)," kata Lim.

Beliau menyamakan pengharaman terhadap sarung tangan susu getah itu seperti kempen untuk menyekat minyak sawit dalam tahun 1980'an yang terajui oleh Persatuan Kacang Soya Amerika yang kebanyakannya disebabkan kejayaan minyak sawit bersaing dengan minyak kacang soya Amerika.

"Adalah mengejutkan apabila tembakau tidak diharamkan sepenuhnya, walau pun ia terbukti lebih berbahaya terhadap kesihatan manusia," katanya.

Dengan memberi contoh perangkaan dari Global Trade Atlas, Thai berkata AS mengimport 18.4 bilion pasang sarung tangan getah bernilai AS$1.2 bilion dalam 2006, di mana 9.2 bilion pasang bernilai kira-kira AS$600 juta datang dari Malaysia.

Ini merupakan pertumbuhan yang kukuh dari 2004 apabila AS mengimport 17.6 bilion pasang sarung tangan bernilai AS$1.03 bilion, di mana 8.6 bilion pasang bernilai kira-kira AS$500 juta datang dari Malaysia.

"Kenyataannya, terdapat banyak sarung tangan getah berkualiti tinggi di dalam pasaran yang tidak akan menyebabkan reaksi alahan terhadap sesetengah individu yang sentitif," kata Thai.

Protin susu getah yang terdapat dalam sarung tangan getah tepung dikenal pasti sebagai penyebab utama reaksi alahan terhadap sesetengah individu dalam industri penjagaan kesihatan sejak tahun 1989, katanya.

Sehingga ini, disebabkan kemajuan dalam teknologi getah dan penyelidikan teknikal berterusan, kebanyakan sarung tangan getah tepung mengandungi kandungan protein yang rendah, katanya.

"Industri itu tidak menemui sebarang kes alahan susu getah dilaporkan atau sebarang rayuan baru yang membabitkan alahan susu getah sejak 1995," katanya.

Hari ini, ramai pengguna dalam industri penjagaan kesihatan telah bertukar untuk menggunakan Sarung Tangan Susu Getah Bebas Tepung yang hampir bebas dari protein.

Katanya sarung tangan susu getah bebas tepung tidak diketahui menyebabkan sebarang reaksi alahan terhadap kebanyakan individu yang sensitif.

"Kini, sarung tangan Tiruan Nitril juga menerima permintaan yang kian berkembang dalam industri penjagaan kesihatan. Sarung tangan nitril adalah bebas protein, yang turut dikeluarkan oleh kumpulan Supermax di Malaysia," katanya.

Hasilnya, kurang 10 peratus hospital di Malaysia menggunakan sarung tangan susu getah tepung kerana kebanyakan darinya telah bertukar menggunakan sama ada sarung tangan tepung atau Sarung Tangan Bebas Tepung Tiruan Nitril pada masa ini, katanya.

"Sarung tangan Bebas Tepung Nitril berharga 20 peratus hingga 25 peratus lebih mahal dari Sarung Tangan Susu Getah Bebas Tepung.

Sebarang pengharaman terhadap penggunaan sarung tangan susu getah berkualiti tinggi bermakna hospital berkenaan perlu meningkatkan kos perbelanjaan 20-25 peratus bagi bahan-bahan penjagaan kesihatan yang boleh digunakan," kata Thai.

Mengenai sama ada hospital dan institusi perubatan lain di AS akan menuruti Johns Hopkins, katanya: "Ya, hospital lain dijangka mengambil tindakan yang sama di masa depan" tetapi terdapat lebih 10,000 hospital beroperasi di AS.

Dengan itu, peratusannya dijangka kecil terutama sekali apabila Bajet Nasional bagi penjagaan kesihatan Pentadbiran Bush sedang dipotong atau dikurangkan, katanya.

"Dengan menggunakan bahan Bebas Tepung, sarung tangan berprotein rendah akan membantu hospital menjimatkan jumlah wang yang besar terhadap kos perkara perubatan pakai buang.

"Tetapi, Supermax bersedia untuk meningkatkan pengeluaran bahan Bebas Tepung Nitril jika permintaan terhadap sarung tangan tiruan Nitril terus meningkat, katanya.

Adalah juga dijangkakan bahawa permintaan untuk mendapatkan Sarung Tangan Tiruan Nitril terus berkembang dan lebih pantas jika lebih banyak hospital membuat keputusan untuk megharamkan penggunaan sarung tangan susu getah, katanya.

Kini, syarikat itu tidak membekalkan secara langsung ke sebarang hospital di AS tetapi menjualnya kepada pelanggan mereka yang merupakan pengedar perubatan yang kemudiannya mengedarkan sarung tangan itu ke hospital.

Supermax juga menjual kepada industri pergigian, farmaseutikal, makmal saintifik perkhidmatan makanan dan pasaran perindustrian.

Syarikat itu juga menjual kurang 15 peratus sarung tangan tepung ke pasaran AS pada tahun lepas kerana pasaran itu memerlukan hampir keseluruhan sarung tangan susu getah gred perubatan bebas tepung dan sarung tangan perubatan bebas tepung tiruan.

"Dengan itu, pengharaman penggunaan sarung tangan susu getah oleh Johns Hopkins tidak akan memberikan sebarang impak negatif ke atas Kumpulan Supermax," katanya.

Lim dari Top Glove berkata jika pengharaman itu kerana sebab perubatan, FDA akan merupakan pihak pertama mengharamkan penggunaan sarung tangan susu getah di AS dan jika impak alahan sarung tangan susu getah benar buruk seperti yang didakwa, FDA akan mengambil inisiatif mengharamkannya di ke semua hospital.

"Kami mempercayai wujud sebab lain disebaliknya yang kami tidak sedari," katanya.

Top Glove kemungkinan membekalkan sarung tangan kepada Johns Hopkins melalui para pengimport dan pengedarnya.

Bagaimana pun, katanya hospital dan institusi perubatan yang lain kemungkinan tidak akan menuruti pengharaman itu.

"Pengharaman itu hanya berkuat kuasa di hospital Johns Hopkins, yang merupakan peratusan yang kecil dari keseluruhan hospital di AS," katanya.

Lim berkata beliau tidak menjangka sebarang pengurangan jualan sarung tangan susu getah ke AS, sehingga ini.

Katanya penggunaan sarung tangan nitril akan memburukkan alam sekitar kerana sarung tangan nitril tidak rosot secara biologi, tidak seperti sarung tangan susu getah.

Selain sarung tangan susu getah terhadap AS, syarikat itu juga menjual sarung tangan tiruan seperti sarung tangan nitril dan vinil.

"Top Glove membuat pengeluaran berasaskan permintaan dan tempahan. Jika terdapat permintaan lebih tinggi bagi sarung tangan nitril, talian pengeluaran di Malaysia boleh ditukar dan boleh mengeluarkan sarung tangan nitril atau susu getah," katanya.

Syarikat itu kini menjual produknya ke lebih 180 buah negara di seluruh dunia, dengan peningkatan fokus di negara-negara membangun di mana kadar pertumbuhan bagi mendapatkan sarung tangan lebih tinggi dari AS, kata Lim.

-- BERNAMA

0 comments:

Template by:
Free Blog Templates