KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Pengeluar sarung tangan getah seperti Top Glove Corporation, Supermax Corporation dan Kossan Rubber Industries diunjurkan mendapat faedah daripada permintaan tinggi untuk sarung getah kegunaan perubatan tahun ini, berikutan kekurangan bekalan kerana pengembangan kapasiti yang kecil pada 2009, kata OSK Research Khamis.
Permintaan global dijangka meningkat 10 bilion keping setahun kepada 150 keping berikutan kesedaran kebersihan yang meningkat selepas pandemik H1N1, kata syarikat itu dalam nota penyelidikan atas sektor sarung tangan getah.
Permintaan juga melebihi bekalan kerana pengembangan kapasiti minimum tahun lepas di mana hanya lima bilion keping sahaja dibuat berbanding permintaan 10 bilion keping.
OSK berkata terdapat juga kekangan kepada pengembangan kapasiti kerana tiada bekalan baharu gas diberikan kepada industri itu di Malaysia.
Menurut OSK, alternatif penggunaan biomas untuk menjana kuasa mengambil masa kerana 12 hingga 15 bulan diperlukan untuk menyediakan dandang biomas.
"Oleh itu, kami menjangka kekurangan bekalan sarung tangan getah pada setengah tahun pertama ini sebelum kapasiti baharu mula mengeluarkan hasil pada setengah tahun kedua," kata syarikat penyelidikan itu.
Ia juga menyatakan bahawa negara-negara membangun adalah sasaran pertumbuhan pasaran yang baik berikutan peningkatan tahap kesedaran kebersihan diri, sambil menyatakan Brazil adalah contoh terbaik, di mana permintaan meningkat selepas kerajaan mengetatkan peraturan pemakaian sarung tangan getah sebelum memasuki negara itu.
Permintaan yang lebih tinggi dari Brazil telah memberi faedah kepada Top Glove dan Supermax.
Kedua-duanya dipercayai menguasai 40 dan 30 peratus pasaran setiap satu, bagi keseluruhan pasaran Brazil.
"Kami percaya negara-negara membangun akan menjadi pasaran berkembang bagi pembuat sarung tangan getah, yang akan menumpukan semula kepada sarung tangan getah asli yang asas sebagai sebahagian perkembangan mereka," kata OSK.
-- BERNAMA
'Toxic masculinity' and the class divide
2 hari yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan