Berita Harian - Sabtu, 28 Mac 2009
Kilang kurang kos operasi akibat gawat
MELAKA: Lebih 26,798 pekerja diberhentikan sehingga Rabu lalu apabila beberapa kilang di seluruh negara terus mengambil langkah mengurangkan kos operasi masing-masing berikutan masalah ekonomi dunia.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata kebanyakan mereka adalah dalam sektor pembuatan, perkhidmatan komuniti, sosial dan persendirian serta hartanah, penyewaan dan perniagaan membabitkan 811 majikan.
"Sejak 1 Oktober tahun lalu sehingga 25 Mac lalu, 26,798 pekerja diberhentikan iaitu masing-masing 19,886 membabitkan pemberhentian tetap dan baki, 6,912 menerusi skim pemberhentian sukarela (VSS).
"Selain pemberhentian tetap dan VSS, 29,528 lagi pekerja terbabit dalam pemberhentian sementara dan 27,403 pekerja dalam skim pengurangan gaji yang dilaksanakan majikan masing-masing," katanya selepas merasmikan Program Penempatan Pekerjaan 2009 Peringkat negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh dekat sini, semalam.
Kira-kira 5,000 pengunjung menyerbu program yang bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang itu yang menawarkan hampir 2,500 pekerjaan.
Sebanyak 49 majikan turut mengadakan temu duga terbuka dan antara ditawarkan termasuk bidang profesional sebanyak 241 kekosongan, perkeranian dan jualan (687), pekerja mahir (29) dan pekerja am (1,479).
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Yaakub Md Amin, Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan dan Pengguna negeri, R Perumal dan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja negeri, S Tharu Marajan.
Sementara itu, Subramaniam berkata, sejak Oktober lalu, kementeriannya membuka 80 Bilik Gerakan Pemantauan Pemberhentian dan Penempatan Semula Pekerja (PPDPSP) di seluruh negara bagi memantau trend pemberhentian pekerja daripada pemberhentian secara tetap, sukarela atau VSS, sementara dan pengurangan gaji.
"Kementerian turut memantau pemberhentian pekerja yang digaji oleh syarikat melalui syarikat penyumberan luar dan kontraktor pekerja tempatan," katanya
'Toxic masculinity' and the class divide
2 hari yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan