Berita Harian - Selasa, 17 Mac 2009
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia menyediakan dana tambahan supaya program latihan Train and Place yang sebelum ini disediakan kepada pekerja yang diberhentikan, diperluaskan kepada pekerja yang diberhentikan sementara dan mengalami pengurangan pendapatan serius.
Menterinya, Datuk Dr S Subramaniam, berkata dana tambahan itu diberikan melalui peruntukan mengikut Pakej Rangsangan Ekonomi kedua yang dibentangkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 10 Mac lalu.
"Melalui Pakej Rangsangan Ekonomi pertama, kementerian diperuntukkan dana RM100 juta untuk melatih 12,000 pekerja yang diberhentikan. Ia termasuk menanggung sepenuhnya yuran latihan bagi tempoh tiga hingga enam bulan.
"Mereka dibayar elaun latihan antara RM500 hingga RM800 sebulan bergantung kepada bilangan tanggungan mereka sekali gus membantu menampung keperluan harian mereka," katanya menjawab soalan Dr Michael Jeyakumar Devaraj (PSM-Sungai Siput).
Katanya, mereka yang berminat menyertai latihan berkenaan, boleh mendaftar menerusi laman web, www.jobsmalaysia.gov.my atau mendaftar di mana-mana 80 pejabat Jabatan Tenaga Kerja di seluruh negara.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) mengenai langkah memperkenalkan skim insurans bagi penganggur, Subramaniam berkata, cadangan itu sedang dipertimbangkan menerusi kajian penubuhan Dana Pemberhentian Pekerja.
"Satu kajian sedang dijalankan dengan bantuan Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai penubuhan dana itu. Ia termasuk mengambil kira sama ada skim dicadangkan itu sesuai dilaksanakan di negara ini.
"Buat masa ini, dana atau skim itu belum boleh diberikan kepada pekerja terbabit berikutan tiada dana yang diperuntukkan untuk tujuan itu, selain menunggu keputusan kajian berkenaan," katanya.
'Toxic masculinity' and the class divide
2 hari yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan