31.3.09

BANGLADESH KETATKAN PERATURAN

Utusan Malaysia - Selasa, 31 Mac 2009

KUALA LUMPUR 30 Mac - Bangladesh memberikan jaminan akan menguatkuasakan undang-undang yang lebih ketat ke atas 81 agensi pekerjaan di negara itu yang bertanggungjawab membawa warganegaranya bekerja di Malaysia.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, ia bagi mengelakkan masalah pekerja Bangladesh tidak mempunyai pekerjaan dan terbiar selepas tiba di Malaysia.

"Selepas ini Kerajaan Bangladesh akan memastikan peluang kerja sudah tersedia sebelum warganegaranya dihantar ke Malaysia, katanya di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau sebelum itu menerima kunjungan hormat Menteri Sumber Manusia Bangladesh, Khandker Mosharraf dan Menteri Luar Bangladesh, Dipu Moni di bangunan Parlimen.

Subramaniam berkata, perkara lain yang dibincangkan dalam pertemuan berkenaan ialah mengenai kebajikan para pekerja Bangladesh di Malaysia.

"Saya memberi jaminan bahawa undang-undang melindungi golongan pekerja di Malaysia meliputi semua pekerja tidak kira pekerja tempatan atau pekerja asing.

"Mereka turut dimaklumkan bahawa pekerja Bangladesh yang berasa mereka dianiaya oleh majikan seperti tidak dibayar gaji dan sebagainya boleh meminta bantuan daripada Jabatan Tenaga Kerja di seluruh negara," katanya.

Subramaniam menambah, bilangan aduan mengenai pekerja Bangladesh yang dianiaya tidak tinggi dan kira-kira 97 peratus daripada masalah yang timbul berjaya diselesaikan dalam masa yang singkat.

"Pada masa ini terdapat 450,000 pekerja Bangladesh di Malaysia dan kebanyakannya bekerja di sektor pembuatan, perladangan dan pertanian.

"Sehingga kini, jumlah pekerja Bangladesh di Malaysia yang diberhentikan tidak lebih 10,000 orang," katanya.

Tambah Subramaniam, Bangladesh memahami bahawa tindakan Malaysia menyekat kemasukan pekerja dari negara itu dan terpaksa memberhentikan sebahagian daripada mereka berikutan kegawatan ekonomi global.

0 comments:

Template by:
Free Blog Templates