28.3.09

Sentral: Program orang hilang upaya kembali berkerja

Berita Harian - Khamis, 26 Mac 2009

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mewujudkan program 'Return To Work' bertujuan membantu golongan yang tidak mempunyai pekerjaan ekoran kemalangan dan hilang upaya kekal atau sementara yang dialami sewaktu bekerja.

Menterinya, Datuk Dr S Subramaniam, berkata mereka yang menyertai program itu disediakan pelbagai kemahiran bagi membantu mereka menjana pendapatan sendiri dan keluarga sekali gus mengurangkan rasa rendah diri.

“Program ini juga memberi peluang pekerja yang terbabit dengan masalah kesihatan dan kemalangan sehingga hilang upaya untuk kembali bekerja sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“Tahun lalu, daripada 731 yang menyertainya, 340 daripadanya berjaya menamatkan latihan dan pekerjaan baru dengan 200 daripada mereka kembali bekerja di tempat asal dan inilah yang diinginkan kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Hari Kerjaya serta Pelancaran Pusat Penyelidikan Fisioterapi dan Rehabilitasi Kolej Universiti Sains Kesihatan Masterskill (MUCH) di kampus utama MUCH, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi MUCH, Datuk Edmund Santhara; Naib Canselor MUCH, Datuk Prof Dr Ishak Tamby Kechik dan Timbalan Pengarah Jabatan tenaga Kerja (JTK) Selangor, Rosli Sabaruddin.

Subramaniam berkata, kementerian bakal membuka pusat rehabilitasi di Melaka bagi memberi perkhidmatan kepada mereka yang memerlukan terapi fizikal dan pekerjaan yang kini dalam proses pembinaan malah turut merancang membuka pusat satelit seumpama itu di seluruh negara.

“Kita memerlukan banyak pakar pemulihan untuk memberi latihan dan membantu proses pelaksanaan program ini yang mana kementerian berharap banyak pihak swasta bekerjasama menjayakannya kerana nisbah ahli fisioterapi sedia ada ialah 1:10,000

“Dengan adanya pusat latihan yang mampu mencapai status antarabangsa, kementerian yakin ia bakal membantu meningkatkan lagi program ini dan kita akan cuba menyediakan kemudahan lengkap pada masa akan datang,” katanya

0 comments:

Template by:
Free Blog Templates